Ruang bateri komputer riba sembunyi dadah
| |
| ROSLAN Abd. Wahid menunjukkan contoh bateri komputer riba bersama gambar bateri sebenar yang digunakan untuk menyembunyikan dadah jenis syabu dengan tertangkapnya seorang suspek di Paka di IPK Terengganu, kelmarin. |
KUALA TERENGGANU 29 April - Walaupun seringkali dibongkar taktik menyembunyikan dadah, namun masih terdapat pelbagai cara dilakukan pengedar untuk menyorok dadah.
Terbaru, taktik seorang lelaki menyorok dadah jenis syabu dalam bateri komputer riba gagal kerana ia dapat dikesan polis.
Kejayaan itu diperoleh hasil serbuan di sebuah rumah di Jalan Limbong, Kampung Kolam, Paka, Dungun, Rabu lalu.
Dalam serbuan pada pukul 2.30 petang itu, polis menemui lima peket dadah seberat 6.3 gram bernilai kira-kira RM5,000 di dalam bateri komputer riba berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri, Supritendan Roslan Abd. Wahid berkata, dadah itu disorok oleh suspek berusia 26 tahun itu di dalam ruang bateri komputer dengan mengosongkan komponen-komponen di dalam alat tersebut.
Katanya, ini merupakan kes pertama melibatkan penangkapan pengedar dadah menggunakan taktik berkenaan.
"Suspek yang berkerja sebagai buruh tersebut dipercayai telah dua tahun mengedar dadah di sekitar kawasan Paka dan kawasan pantai selain mempunyai dua rekod kesalahan lampau atas kesalahan sama.
"Kes itu disiasat di bawah Sekyen 39 (A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan sebatan tidak melebihi sembilan kali," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dalam perkembangan sama, Roslan memberitahu, polis menahan seorang mekanik dan merampas ketulan dadah dipercayai ganja seberat 53 gram bernilai RM4,000 di hadapan sebuah rumah di Kampung Baru, Wakaf Tapai, Marang, kelmarin.
Ujarnya, suspek yang berusia 46 tahun ditahan di dalam keretanya kira-kira pukul 10 pagi.
Katanya, suspek dipercayai telah mengedar dadah di sekitar kawasan berkenaan sejak lima tahun lalu dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39 (A) ADB 1952.
Beliau turut memaklumkan dalam tempoh tiga hari lalu, sebanyak lima pengedar berjaya ditahan dengan tiga daripadanya berasal dari Dungun, manakala bakinya dari Kuala Terengganu.
"Kelima-lima mereka yang bekerja sebagai buruh ditahan untuk tempoh 60 hari dan disiasat di bawah Seksyen 3 (1) ADB (LLPK) 1985," jelasnya.
No comments:
Post a Comment