Wednesday, April 28, 2010

JOHOR

2 lelaki ditahan miliki ganja

KOTA TINGGI 28 April - Dua lelaki ditahan polis kerana disyaki memiliki ganja semasa menunggang sebuah motosikal di Taman Sri Saujana di sini baru-baru ini.

Seorang daripada lelaki tersebut dipercayai pengedar dadah dari Taman Seri Alam, Masai, manakala rakannya dikenakan perintah sekatan polis di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Osman Muhammad Sebot berkata, sepasukan polis yang diketuai Inspektor Mohd. Adzim Fairuz Ramlee menahan kedua-dua suspek yang menaiki sebuah motosikal Yamaha LC 135 kira-kira pukul 8 malam pada 16 April lalu.

Hasil peperiksaan, polis merampas empat ketulan daun kering dipercayai ganja seberat 310 gram dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

''Kedua-dua suspek berusia 28 tahun dan seorang daripadanya berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dan dikenakan sekatan polis sejak lapan bulan lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di sini.

Dalam pada itu, Osman memberitahu, pada hari sama, Inspektor Cairun Niza Mohamed Hasyim bersama anggota Balai Teluk Sengat turut menahan seorang pengedar dadah di Blok A8, Felda Air Tawar 4 di sini.

Polis berjaya merampas dadah jenis heroin seberat 310 gram daripada suspek berusia 32 tahun itu dan kesnya disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek merupakan penagih tegar dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau, katanya.

Pihaknya telah menggunakan pendekatan gerakan bersepadu membabitkan semua balai polis di sini memerangi kegiatan penyalahgunaan dadah melalui Ops Tapis.

Katanya, dalam Ops Tapis pada 19 dan 20 April lalu, seramai 60 lelaki berusia 18 hingga 54 tahun yang positif dadah menerusi ujian saringan air kencing ditahan.

"Kebanyakan mereka mengambil dadah jenis heroin dan syabu," katanya.

No comments:

Post a Comment