Guna pelajar sebagai 'keldai'
KUALA TERENGGANU 29 April - Polis mengesan taktik terbaru pengedaran dadah yang menjadikan pelajar-pelajar sekolah sebagai 'keldai' untuk mengedarkan dadah di sekolah secara percuma.
Modus operandi yang digunakan adalah dengan menggunakan 'keldai' berkenaan untuk mencari pelajar lain dan memberikan dadah secara percuma.
Setelah pelajar itu mengambil dadah, mereka akan menjadi ketagih dan mula berusaha untuk mendapatkan bekalan daripada 'keldai' dadah itu.
Apabila tidak mampu membeli dadah, pengedar mula menawarkan mereka menjadi pengedar kecil-kecilan di sekolah dengan memperoleh bekalan percuma untuk kegunaan mereka sendiri.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Supritendan Roslan Abd. Wahid berkata, taktik berkenaan dikesan apabila dua remaja berusia 14 dan 18 tahun ditahan di Kampung Pak Tuyu, Mengabang Telipot, kelmarin.
Katanya, serbuan oleh anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu kira-kira pukul 2.30 petang itu menemui 17 biji pil kuda seberat 1.7 gram.
"Hasil ujian air kencing kedua-dua remaja yang berasal dari Taman Perumahan Gong Badak itu positif dadah jenis methamphetamine dan ditahan reman sehingga hari ini.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) dan 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dalam pada itu, Roslan mengingatkan para ibu bapa agar memantau dan memerhati anak-anak mereka supaya tidak terjebak dalam kegiatan yang tidak sihat ini.
Tambahnya, sejak kebelakangan ini, kegiatan pengedaran dadah menggunakan pelajar-pelajar sekolah semakin membimbangkan.
"Saya menyeru agar ibu bapa lebih prihatin dalam menjaga anak-anak mereka agar gejala itu dapat dibanteras di kalangan pelajar-pelajar sekolah," jelasnya.
No comments:
Post a Comment