Polis ketagih dadah membimbangkan
JOHOR BAHRU 29 April - Penyalahgunaan dadah di kalangan polis di negeri ini menunjukkan trend membimbangkan apabila sebanyak 15 kes dilaporkan sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.
Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman ketika mendedahkan perkara itu berkata, tahun lalu menunjukkan sebanyak 31 kes penyalahgunaan dadah dilaporkan.
Katanya, terbaru, empat anggota turut disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dalam tangkapan 26 April lalu.
"Bagaimanapun keputusan sebenar sampel air kencing anggota terbabit yang dihantar ke hospital belum diperoleh.
"Kes-kes dilaporkan kebanyakannya berkaitan pengambilan dadah jenis sintetik, syabu dan ketamin," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan di padang kawad Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Jalaluddin berkata, para pegawai polis khususnya yang dilantik sebagai penyelia digesa memantau anggota bawahan mereka agar tidak terjebak dalam masalah itu.
Dalam perkembangan berlainan, Jalaluddin berkata, kadar jenayah di sepanjang tiga bulan pertama tahun ini mencatatkan sebanyak 4,749 kes berbanding 5,869 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Katanya, ia merupakan penurunan sebanyak 19.08 peratus.
Katanya lagi, peningkatan kes kesalahan mengedar dan memiliki dadah bagaimanapun didapati meningkat iaitu 1,675 kes bagi tempoh yang sama berbanding 1,329 kes tahun lalu.
No comments:
Post a Comment