Friday, April 30, 2010

JOHOR

Polis ketagih dadah membimbangkan

JOHOR BAHRU 29 April - Penyalahgunaan dadah di kalangan polis di negeri ini menunjukkan trend membimbangkan apabila sebanyak 15 kes dilaporkan sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman ketika mendedahkan perkara itu berkata, tahun lalu menunjukkan sebanyak 31 kes penyalahgunaan dadah dilaporkan.

Katanya, terbaru, empat anggota turut disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dalam tangkapan 26 April lalu.

"Bagaimanapun keputusan sebenar sampel air kencing anggota terbabit yang dihantar ke hospital belum diperoleh.

"Kes-kes dilaporkan kebanyakannya berkaitan pengambilan dadah jenis sintetik, syabu dan ketamin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan di padang kawad Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Jalaluddin berkata, para pegawai polis khususnya yang dilantik sebagai penyelia digesa memantau anggota bawahan mereka agar tidak terjebak dalam masalah itu.

Dalam perkembangan berlainan, Jalaluddin berkata, kadar jenayah di sepanjang tiga bulan pertama tahun ini mencatatkan sebanyak 4,749 kes berbanding 5,869 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, ia merupakan penurunan sebanyak 19.08 peratus.

Katanya lagi, peningkatan kes kesalahan mengedar dan memiliki dadah bagaimanapun didapati meningkat iaitu 1,675 kes bagi tempoh yang sama berbanding 1,329 kes tahun lalu.

TIMUR

Ruang bateri komputer riba sembunyi dadah


ROSLAN Abd. Wahid menunjukkan contoh bateri komputer riba bersama gambar bateri sebenar yang digunakan untuk menyembunyikan dadah jenis syabu dengan tertangkapnya seorang suspek di Paka di IPK Terengganu, kelmarin.


KUALA TERENGGANU 29 April - Walaupun seringkali dibongkar taktik menyembunyikan dadah, namun masih terdapat pelbagai cara dilakukan pengedar untuk menyorok dadah.

Terbaru, taktik seorang lelaki menyorok dadah jenis syabu dalam bateri komputer riba gagal kerana ia dapat dikesan polis.

Kejayaan itu diperoleh hasil serbuan di sebuah rumah di Jalan Limbong, Kampung Kolam, Paka, Dungun, Rabu lalu.

Dalam serbuan pada pukul 2.30 petang itu, polis menemui lima peket dadah seberat 6.3 gram bernilai kira-kira RM5,000 di dalam bateri komputer riba berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri, Supritendan Roslan Abd. Wahid berkata, dadah itu disorok oleh suspek berusia 26 tahun itu di dalam ruang bateri komputer dengan mengosongkan komponen-komponen di dalam alat tersebut.

Katanya, ini merupakan kes pertama melibatkan penangkapan pengedar dadah menggunakan taktik berkenaan.

"Suspek yang berkerja sebagai buruh tersebut dipercayai telah dua tahun mengedar dadah di sekitar kawasan Paka dan kawasan pantai selain mempunyai dua rekod kesalahan lampau atas kesalahan sama.

"Kes itu disiasat di bawah Sekyen 39 (A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan sebatan tidak melebihi sembilan kali," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dalam perkembangan sama, Roslan memberitahu, polis menahan seorang mekanik dan merampas ketulan dadah dipercayai ganja seberat 53 gram bernilai RM4,000 di hadapan sebuah rumah di Kampung Baru, Wakaf Tapai, Marang, kelmarin.

Ujarnya, suspek yang berusia 46 tahun ditahan di dalam keretanya kira-kira pukul 10 pagi.

Katanya, suspek dipercayai telah mengedar dadah di sekitar kawasan berkenaan sejak lima tahun lalu dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39 (A) ADB 1952.

Beliau turut memaklumkan dalam tempoh tiga hari lalu, sebanyak lima pengedar berjaya ditahan dengan tiga daripadanya berasal dari Dungun, manakala bakinya dari Kuala Terengganu.

"Kelima-lima mereka yang bekerja sebagai buruh ditahan untuk tempoh 60 hari dan disiasat di bawah Seksyen 3 (1) ADB (LLPK) 1985," jelasnya.

TIMUR

Guna pelajar sebagai 'keldai'

KUALA TERENGGANU 29 April - Polis mengesan taktik terbaru pengedaran dadah yang menjadikan pelajar-pelajar sekolah sebagai 'keldai' untuk mengedarkan dadah di sekolah secara percuma.

Modus operandi yang digunakan adalah dengan menggunakan 'keldai' berkenaan untuk mencari pelajar lain dan memberikan dadah secara percuma.

Setelah pelajar itu mengambil dadah, mereka akan menjadi ketagih dan mula berusaha untuk mendapatkan bekalan daripada 'keldai' dadah itu.

Apabila tidak mampu membeli dadah, pengedar mula menawarkan mereka menjadi pengedar kecil-kecilan di sekolah dengan memperoleh bekalan percuma untuk kegunaan mereka sendiri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Supritendan Roslan Abd. Wahid berkata, taktik berkenaan dikesan apabila dua remaja berusia 14 dan 18 tahun ditahan di Kampung Pak Tuyu, Mengabang Telipot, kelmarin.

Katanya, serbuan oleh anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu kira-kira pukul 2.30 petang itu menemui 17 biji pil kuda seberat 1.7 gram.

"Hasil ujian air kencing kedua-dua remaja yang berasal dari Taman Perumahan Gong Badak itu positif dadah jenis methamphetamine dan ditahan reman sehingga hari ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) dan 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dalam pada itu, Roslan mengingatkan para ibu bapa agar memantau dan memerhati anak-anak mereka supaya tidak terjebak dalam kegiatan yang tidak sihat ini.

Tambahnya, sejak kebelakangan ini, kegiatan pengedaran dadah menggunakan pelajar-pelajar sekolah semakin membimbangkan.

"Saya menyeru agar ibu bapa lebih prihatin dalam menjaga anak-anak mereka agar gejala itu dapat dibanteras di kalangan pelajar-pelajar sekolah," jelasnya.

Wednesday, April 28, 2010

JOHOR

2 lelaki ditahan miliki ganja

KOTA TINGGI 28 April - Dua lelaki ditahan polis kerana disyaki memiliki ganja semasa menunggang sebuah motosikal di Taman Sri Saujana di sini baru-baru ini.

Seorang daripada lelaki tersebut dipercayai pengedar dadah dari Taman Seri Alam, Masai, manakala rakannya dikenakan perintah sekatan polis di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Osman Muhammad Sebot berkata, sepasukan polis yang diketuai Inspektor Mohd. Adzim Fairuz Ramlee menahan kedua-dua suspek yang menaiki sebuah motosikal Yamaha LC 135 kira-kira pukul 8 malam pada 16 April lalu.

Hasil peperiksaan, polis merampas empat ketulan daun kering dipercayai ganja seberat 310 gram dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

''Kedua-dua suspek berusia 28 tahun dan seorang daripadanya berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dan dikenakan sekatan polis sejak lapan bulan lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di sini.

Dalam pada itu, Osman memberitahu, pada hari sama, Inspektor Cairun Niza Mohamed Hasyim bersama anggota Balai Teluk Sengat turut menahan seorang pengedar dadah di Blok A8, Felda Air Tawar 4 di sini.

Polis berjaya merampas dadah jenis heroin seberat 310 gram daripada suspek berusia 32 tahun itu dan kesnya disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek merupakan penagih tegar dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau, katanya.

Pihaknya telah menggunakan pendekatan gerakan bersepadu membabitkan semua balai polis di sini memerangi kegiatan penyalahgunaan dadah melalui Ops Tapis.

Katanya, dalam Ops Tapis pada 19 dan 20 April lalu, seramai 60 lelaki berusia 18 hingga 54 tahun yang positif dadah menerusi ujian saringan air kencing ditahan.

"Kebanyakan mereka mengambil dadah jenis heroin dan syabu," katanya.

Friday, April 16, 2010


Undang-undang lebih ketat mampu atasi masalah dadah


2010/04/27

MASALAH penyalahgunaan dadah kian kritikal akhir-akhir ini. Masalah ini umpama barah yang tiada penawarnya. Jumlah penagih dadah semakin meningkat, dengan rekod 235,495 orang pada 2002.


Daripada jumlah itu, 65,518 penagih tegar, manakala 11,500 lagi HIV positif. Pelbagai langkah drastik dan pragmatik harus diambil seiring perubahan jenis dadah yang digunakan.

Penguatkuasaan undang-undang yang kurang tegas menjadi sebahagian daripada punca masalah. Kerajaan wajar meminda undang-undang agar lebih tegas dan setimpal dengan perbuatan pengedar dadah sintetik yang merosakkan generasi muda. Misalnya, Akta Dadah Berbahaya 1952 menjelaskan hukuman mati mandatori kepada pengedar, pemilik dan pembawa 15 gram atau lebih dadah jika sabit kesalahan.


Kerajaan dan swasta perlu bersatu membanteras dadah dan memantau sarang penagihan di seluruh negara. Jika sarang mereka sentiasa diserbu, jumlah penagih dadah pasti berkurangan.


Masyarakat juga wajar membuang sikap tidak ‘menjaga tepi kain orang’. Jika kita mendapat maklumat penagihan dadah di kawasan kejiranan, ia patut dilaporkan kepada pihak berkuasa agar tindakan segera dapat diambil.


Ibu bapa tidak terkecuali dalam hal ini. Setiap pergerakan anak harus dipantau kerana mengikut statistik, kebanyakan penagih bermula pada usia 13 hingga 18 tahun.


Remaja harus diberi perhatian dan kasih sayang secukupnya agar mereka terhindar daripada masalah ini. Kempen kesedaran hendaklah dilaksanakan di sekolah.


Guru perlu proaktif dengan mengambil tindakan tegas kepada pelajar yang merokok kerana 90 peratus penagih bermula dengan merokok.



73 ditahan operasi dadah



2010/04/18
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Dua pegawai kerajaan dan seorang penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) antara 73 yang ditahan dalam operasi khas Cawangan Tata Tertib serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Bukit Aman, awal pagi semalam.

Sumber berkata, polis mengenal pasti kelab malam terbabit bukan saja dibuka lebih masa, malah menjadi tumpuan ‘kaki khayal’ yang mahu berhibur sambil mengambil dadah.


“Sepanjang operasi yang berakhir kira-kira tiga jam kemudian, polis menahan 16 wanita dan 57 lelaki positif dadah.


“Hasil ujian air kencing mendapati kebanyakan mereka positif dadah jenis syabu, amphetamine, metaphetamine dan ecstasy.


“Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Bagaimanapun, kita tidak menemui dalang yang mengedar dadah itu kepada pengunjung kerana dipercayai sempat meloloskan diri,” katanya.

Turut ditahan seorang lelaki warga Bangladesh yang tidak mempunyai dokumen serta seorang wanita berusia 20-an yang mempunyai dokumen pas pelajar universiti awam tempatan.


Difahamkan, ‘kelab malam lalok’ itu pernah diserbu beberapa kali tahun lalu tetapi masih berdegil meneruskan operasi dengan membenarkan pengunjung mengambil dadah.