Polis rampas dadah bernilai hampir RM1 juta
GAN Kong Meng (dua, kiri) menunjukkan pelbagai jenis dadah dalam plastik dan peralatan membuat dadah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di Pulau Pinang, semalam. |
PULAU PINANG 17 Mei - Polis negeri ini berjaya mematahkan satu sindiket pengedaran dadah selepas membongkar sebuah makmal memproses bahan tersebut di Bukit Jambul di sini tiga hari lalu.
Hasil maklumat orang awam dan intipan polis selama tiga hari, sebuah kondominium di Medan Fettes, Tanjung Tokong di sini diserbu pada pukul 10 malam tadi dan pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM1 juta dirampas.
Selain itu, seorang wanita warga China berusia 28 tahun yang berasal dari Shandong dan mempunyai pasport serta visa tamat tempoh pada bulan depan, turut ditahan.
Dalam operasi itu, polis menemui serbuk ekstasi yang diisi di dalam kapsul bagi mengelak daripada dikesan dan dadah seumpama itu jarang ditemui di pasaran.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, polis turut merampas sepucuk pistol mainan dan kelopak peluru serta menyita sebuah kereta Nissan Sentra dalam serbuan itu.
"Hasil pemeriksaan di rumah itu, polis menemui dadah jenis heroin seberat 5 kilogram, ganja (0.3 kilogram), syabu (0.3 kilogram), ketamin (0.4 kilogram), 1,755 bungkus pil kuda, 20 bungkus pil ekstasi dan serbuk ekstasi (15 kilogram).
"Pelbagai peralatan memproses dadah antaranya ketuhar, tong gas lima botol asid, kafein, bahan pewarna, lampu dan alat timbang turut dirampas dalam operasi itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
No comments:
Post a Comment