Saturday, May 22, 2010

Pasangan kekasih remaja pengedar dadah tumpas

PETALING JAYA: Sepasang kekasih remaja yang baru mencecah umur awal 20-an antara empat pengedar dadah yang ditumpaskan dalam beberapa serbuan berasingan polis, baru-baru ini.

Kegiatan mereka yang baru saja beberapa bulan bertapak di sekitar Petaling Jaya dihidu pihak berkuasa hasil maklumat awam.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata dalam beberapa serbuan dan tangkapan itu pihaknya merampas pelbagai dadah serta wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM140, 000.

Menurutnya, keempat-empat suspek yang juga warga tempatan itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan pada 18 Mei lalu dan kelmarin.

“Dalam serbuan kira-kira jam 11.30 malam di Taman Mayang di sini Selasa lalu, kami menahan seorang suspek berusia 27 tahun dan merampas 1,880 gram ganja, 1,500 pil Eramin 5, 27.55 gram Ketamin dan 319 pil Ecstasy.


“Serbuan kedua di Sungai Way, kira-kira jam 3.30 petang kelmarin pula menahan seorang lelaki juga berusia 27 tahun dan merampas 2,000 pil Eramin 5, manakala serbuan ketiga kira-kira jam 11.15 malam hari sama di Seksyen 17, membawa kepada penahanan pasangan kekasih terbabit yang turut memiliki pelbagai dadah,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Arjunaidi berkata, keempat-empat suspek yang ditahan itu dipercayai pengedar baru kerana semakan mendapati mereka tidak rekod jenayah lampau.

“Mereka baru saja beberapa bulan beroperasi di daerah ini dan mengedar dadah kepada pengedar kecil di sini. Selain itu, dadah terbabit juga dipercayai diedarkan ke pusat hiburan berhampiran.

“Namun, kami masih menyiasat sama ada keempat-empat suspek terbabit mempunyai kaitan dan mengenal pasti dari mana mereka mendapatkan dadah,” katanya. Menurutnya, pasangan kekasih terbabit, lelaki berumur 25 tahun dan kekasihnya berumur 23 tahun serta dua suspek yang lain turut positif dadah.

“Semua mereka kini direman tujuh hari dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

No comments:

Post a Comment