Heroin RM6 juta dirampas
Syed Ismail Syed Azizan (tiga dari kiri) menunjukkan rampasan heroin yang dianggarkan bernilai RM6 juta di Alor Setar, semalam. |
ALOR SETAR 19 Mei - Cubaan seorang lelaki menyeludup masuk hampir 30 kilogram dadah jenis heroin bernilai RM6 juta ke negara ini berjaya dipatahkan dalam satu sekatan jalan raya di Kilometer 15.1, Lebuh Raya Utara Selatan di Napoh dekat sini semalam.
Kesemua 74 ketulan dadah mampat yang dibungkus dalam kertas minyak itu disembunyikan dalam tempat simpanan tayar gantian kereta jenis Toyota Corona yang dipandu suspek kira-kira pukul 2.40 petang.
Ketua Polis negeri, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, dadah itu dipercayai cuba dibawa masuk oleh suspek yang berusia 47 tahun untuk diproses dan dipasarkan di sekitar Pulau Pinang
Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Changlun, Bukit Kayu Hitam menahan kereta dipandu suspek yang menghala ke arah selatan.
Setelah memeriksa kereta yang menggunakan nombor pendaftaran Thailand itu, kata beliau, polis menemui serbuk putih dipercayai heroin yang disorokkan di dalam tempat simpanan tayar gantian kenderaan tersebut.
"Setiap bungkusan dianggarkan bernilai RM80,000 di pasaran tempatan. Dadah ini dikenali sebagai heroin base dan bernilai tinggi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Syed Ismail berkata, turut dirampas daripada lelaki itu, wang tunai RM1,088 dan mata wang Thailand bernilai RM3,850 serta tiga telefon bimbit.
Menurut beliau, suspek berasal dari Air Hitam, Pulau Pinang dan kini telah menetap di Hatyai, Thailand dengan membuka perniagaan makanan bersama isterinya di selatan negara jiran itu.
Katanya, polis tidak menolak kemungkinan suspek terlibat dengan satu sindiket memproses dan mengedarkan dadah yang berpangkalan di Pulau Pinang.
"Semakan rekod mendapati suspek memiliki lapan rekod jenayah antaranya terlibat dalam kes samun dan jenayah kekerasan.
"Kita sedang menyiasat lebih lanjut untuk mengetahui sejauh mana kegiatan suspek selama ini," katanya yang turut menjelaskan rampasan itu merupakan yang terbesar di Kedah bagi kes heroin tahun ini.
Suspek kini ditahan reman sehingga 25 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
No comments:
Post a Comment