Wednesday, June 16, 2010

APABILA banyak kisah selebriti popular diberkas kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah didedahkan media, ramai melahirkan rasa 'tidak terkejut' kerana menganggap itu sebahagian cara hidup mereka. 

Walaupun tidak semua, ia sedikit sebanyak membenarkan telahan khalayak bahawa industri hiburan tidak akan melahirkan teladan yang baik kepada masyarakat. Malah, ramai di kalangan yang terbabit pula adalah golongan bapa yang bukan saja menjadi model kepada peminat dan pengikut mereka, malah juga anak-anak daripada darah daging sendiri.

Yalah! Kalau bukan bapa yang menjadi qudwah hasanah setiap permata hati mereka, siapa lagi? Umum mengetahui penyalahgunaan dadah tidak akan menjadikan hidup manusia bertambah baik. Penagihan dadah memusnahkan hidup manusia, meruntuhkan institusi kekeluargaan yang dibina, mengancam keselamatan awam, bangsa dan negara.

Tidak pernah ada liputan berita menyatakan sesebuah kehidupan menjadi sempurna kerana dadah, sebaliknya hampir semua kisah menonjolkan dadah sebagai racun membunuh nyawa dan agama. 

Memandangkan majoriti rakyat negara ini berbangsa Melayu dan beragama Islam, maka golongan ini jugalah yang mendominasi jenayah ini, bahkan tangkapan demi tangkapan dibuat membuktikan najis dadah menjadi makanan harian segelintir umat Islam yang percaya kepada qada dan qadar Allah. 

Mereka inilah juga yang arif soal hukum dan hakam serta kehidupan sesudah mati, yang akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap diri masing-masing, tetapi masih tidak mampu mengawal diri daripada tertipu dengan keindahan dunia yang tidak kekal lama. 

Walaupun najis dadah tidak pernah disebut di dalam nas al-Quran mahupun hadis Rasulullah SAW, penyalahgunaan dadah adalah jelas haram hukumnya berdasarkan beberapa dalil yang diqiyaskan ke atas arak atau perkara yang memabukkan. 

Di dalam Surah Al-Maidah ayat ke 90, Allah SWT berfirman yang mafhumnya: ‘Wahai orang yang beriman. Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semata-mata kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya’. 

‘Arak’ yang disebutkan dalam ayat di atas sebahagian daripada contoh perbuatan kotor dan amalan syaitan. Sudah tentulah apa saja perbuatan syaitan perbuatan mensyirikkan Allah SWT. Begitulah juga penagihan dadah yang di’illah’kan sama seperti arak, yang masih menjadi minuman sosial di kalangan umat Islam hari ini. 

Ini diperkuatkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: ‘Penagih khamar sama seperti penyembah berhala’. 

Rasulullah juga bersabda yang bermaksud: ‘Setiap yang memabukkan adalah khamar dan setiap khamar adalah haram’. Kerana setiap yang memabukkan adalah khamar (arak), maka kita tidak boleh mengatakan hanya arak saja yang diharamkan dan bukan yang lainnya. Ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ‘Pasti akan ada manusia di kalangan umatku yang minum khamar, namun mereka menamakannya dengan nama-nama yang lain’. 

Arak dan dadah menyebabkan seseorang itu hilang kewarasan dan akan melakukan apa saja perbuatan jahat yang ditegah agama, seperti berzina atau berbunuhan. Malah gejala sosial yang tidak terkawal hari ini ada hubung kaitnya dengan pertambahan jumlah individu yang mengambil arak dan dadah, tambahan pula kanak-kanak juga sudah berani berbangga dengan tabiat menghisap rokok yang menjadi permulaan ke arah pengambilan dadah di kalangan generasi muda. 

Tanggungjawab membanteras gejala dadah bukan terbeban ke atas penggubal undang-undang atau penguatkuasaan saja. Sebaliknya ia adalah tanggungjawab semua pihak yang sayangkan agama dan negara. 

Dewasa ini, golongan bawah umur sudah ramai menghisap rokok, termasuk kanak-kanak perempuan seperti dilaporkan di media baru-baru ini. Ia tidak mengejutkan kerana kanak-kanak memang mudah terikut dan dipujuk supaya mengikut. Musibahnya ialah apabila kanak-kanak mengikut sisi negatif yang diperlihatkan kepada mereka oleh mereka yang paling hampir dengan mereka, sama ada ibu bapa atau teman. 

Hal ini tentulah membimbangkan kerana rokok mendekatkan mereka kepada dadah. Ibaratnya, apabila sudah cukup handal menghisap rokok, mereka akan beralih kepada dadah pula dan ia menjadi lambang kejaguhan generasi muda hari ini. Justeru, teman rapat yang tidak terjebak harus menunaikan tanggungjawab mengembalikan mereka kepada kehidupan normal dan bersih serta membantu mereka memulihkan diri. 

Di sebabkan ramai golongan muda yang lebih akrab dengan rakan sebaya berbanding ibu bapa, teman-temanlah yang patut membantu ibu bapa mengatasi masalah ini dengan melaporkan salah laku kepada ibu bapa mereka atau pihak berkuasa supaya tindakan pencegahan dapat dilakukan dengan segera. 

Orang awam pula harus berasa bertanggungjawab menyelamatkan anak bangsa dan akidah waris agama yang semakin terancam kebelakangan ini disebabkan gejala sosial yang semakin parah. Media juga harus mengambil kesempatan menonjolkan betapa jijiknya najis dadah termasuklah mereka yang menghambakan diri kepadanya, bukan sekadar membuat laporan semata-mata. 

No comments:

Post a Comment