Saturday, June 19, 2010

Ahad, 20 Jun 2010

Toreh tangan bapa

KUALA LUMPUR: Ketika orang lain bergembira bersama keluarga menerima pelbagai hadiah daripada anak kandung sempena Hari Bapa hari ini, beberapa individu sekadar merenungi nasib malang disisih darah daging sendiri.

PARUT...Pak Mud menunjukkan kesan torehan pada tangannya.
PARUT...Pak Mud menunjukkan kesan torehan pada tangannya.

Ikuti beberapa kisah duka membabitkan bapa yang antaranya pernah dipukul anak, tinggal di pondok usang atau menumpang kasih di rumah perlindungan orang tua.


KOTA BHARU: Malang bagi seorang warga emas apabila anak tunggal yang dimanjakan sejak kecil bertukar menjadi ‘anak setan’ apabila dewasa.

Itulah kisah duka Mahmud Desmail, 57, atau lebih dikenali sebagai Pak Mud, yang bagaikan skrip dalam filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee, ‘Anakku Sazali’.


“Dia bukan anak pak cik, tetapi anak setan!” katanya ketika menceritakan detik cemas dipukul anak tunggalnya gara-gara mempertahankan rantai emas arwah isterinya daripada dirampas.

Walaupun kejadian berlaku dua tahun lalu, Pak Mud tidak akan melupakannya hingga ke akhir hayat disebabkan terlalu sedih mengenangkan anak yang dibelai dengan penuh manja sanggup ‘menyeksanya’ sedemikian rupa.


Sehingga kini, walaupun lebam di muka akibat ditumbuk anaknya sudah lama hilang, parut di jari telunjuk kiri Pak Mud masih jelas kelihatan selepas ditoreh dengan pisau ketika bergelut dengannya.


Bagi Pak Mud, lebih baik dia tinggal bersendirian di pondok usangnya di sebuah daerah di negeri ini daripada hidup sebumbung dengan anak tidak berhati perut itu.


“Pak cik masih ingat bagaimana dia memperlakukan pak cik seperti haiwan ketika cuba merampas rantai arwah emaknya daripada genggaman pak cik.


“Rantai itu satu-satunya harta berharga ditinggalkan isteri sebelum meninggal dunia lima tahun lalu, namun cuba diragut oleh anak kerana ingin membeli dadah,” katanya yang sentiasa mengenangkan kejadian itu sebaik tibanya Hari Bapa.


Pak Mud menjelaskan, ketika kecil, anaknya yang dikenali sebagai Lokman, 28, ditatang bagai minyak yang penuh, menyebabkan segala kemahuannya dituruti.


Namun, katanya, segala-galanya berubah dalam sekelip mata apabila Lokman menjadi ganas sebaik gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Lokman pernah beberapa kali cuba memukul ibunya selepas dikatakan tidak tahan mendengar leterannya, namun sempat dihalang pak cik yang kebetulan ada di rumah.


“Perangainya juga semakin berubah sebaik ibunya meninggal dunia sebelum mula berjinak-jinak dengan dadah, terutama pil kuda dan heroin,” katanya yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan bagi menampung kehidupan.


Pak Mud berkata, dia terpaksa menahan kesakitan ketika ditoreh dengan pisau, selain hanya mampu melihat Lokman membawa lari rantai arwah isterinya.


Katanya, dia kemudian terpaksa menggagahkan diri ke hospital berhampiran sebelum dikenakan tujuh jahitan pada jari kelingking kirinya.


“Namun pak cik tidak membuat laporan polis kerana tidak mahu maruah keluarga tercalar, selain tidak mahu perkara itu berpanjangan.


“Pak cik tidak tahu ke mana Lokman menghilangkan diri sebaik kejadian itu dan berharap dia insaf serta kembali ke pangkal jalan sempena Hari Bapa,” katanya.

No comments:

Post a Comment