Sunday, June 20, 2010

Nenek sembunyi dadah dalam coli

Oleh Faizul Azlan Razak
2010/06/21


Polis rampas 20 botol heroin, wang tunai

KUALA TERENGGANU: Seorang nenek muda berusia 43 menyembunyikan 20 botol dadah bernilai RM28,000 dalam coli ketika ditahan di kawasan stesen bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN), Roslan Abd Wahid, berkata dalam serbuan kira-kira jam 6 pagi itu, wanita berstatus ibu tunggal dari Jalan Merdeka, Rantau Panjang, Kelantan bersama rakannya dilihat dalam keadaan mencurigakan di depan tandas awam stesen bas berkenaan.

Beliau berkata, janda empat anak dan sudah mempunyai cucu itu bersama rakannya yang juga janda berasal dari Kampung Pinang, Sungai Besi, Kuala Lumpur dilihat cemas dan gelisah ketika didatangi anggota polis yang melakukan pemeriksaan selepas mendapat maklumat awam mengenai kegiatan pengedaran dadah di sekitar kawasan terbabit.

Katanya, hasil pemeriksaan oleh anggota polis wanita menemui 20 botol dadah jenis heroin nombor empat seberat 83 gram, masing-masing 10 pada coli sebelah kanan dan kiri wanita terbabit.

“Selain dadah, polis turut merampas wang tunai RM106, mata wang Thailand bernilai 1,410 bath daripada nenek terbabit hasil jualan bahan terlarang itu.

“Siasatan juga mendapati suspek aktif mengedar dadah sejak awal tahun ini dan mempunyai dua taraf kerakyatan iaitu Malaysia dan Thailand. Rakannya berusia 30 tahun pula mempunyai seorang anak kecil dan kedua-dua mereka adalah penagih pil WY. Mereka juga dipercayai pengedar dadah yang mempunyai rangkaian di sempadan Rantau Panjang dan Golok, Thailand.

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 23 Jun ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Roslan berkata, polis menahan seorang remaja berusia 19 tahun yang disyaki pengedar dadah dan merampas 166 pil WY bernilai RM5,000 dalam serbuan di rumah suspek di Kampung Petai Bubus, Manir, di sini, kira-kira jam 10 malam kelmarin.


Saturday, June 19, 2010

Ahad, 20 Jun 2010

Toreh tangan bapa

KUALA LUMPUR: Ketika orang lain bergembira bersama keluarga menerima pelbagai hadiah daripada anak kandung sempena Hari Bapa hari ini, beberapa individu sekadar merenungi nasib malang disisih darah daging sendiri.

PARUT...Pak Mud menunjukkan kesan torehan pada tangannya.
PARUT...Pak Mud menunjukkan kesan torehan pada tangannya.

Ikuti beberapa kisah duka membabitkan bapa yang antaranya pernah dipukul anak, tinggal di pondok usang atau menumpang kasih di rumah perlindungan orang tua.


KOTA BHARU: Malang bagi seorang warga emas apabila anak tunggal yang dimanjakan sejak kecil bertukar menjadi ‘anak setan’ apabila dewasa.

Itulah kisah duka Mahmud Desmail, 57, atau lebih dikenali sebagai Pak Mud, yang bagaikan skrip dalam filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee, ‘Anakku Sazali’.


“Dia bukan anak pak cik, tetapi anak setan!” katanya ketika menceritakan detik cemas dipukul anak tunggalnya gara-gara mempertahankan rantai emas arwah isterinya daripada dirampas.

Walaupun kejadian berlaku dua tahun lalu, Pak Mud tidak akan melupakannya hingga ke akhir hayat disebabkan terlalu sedih mengenangkan anak yang dibelai dengan penuh manja sanggup ‘menyeksanya’ sedemikian rupa.


Sehingga kini, walaupun lebam di muka akibat ditumbuk anaknya sudah lama hilang, parut di jari telunjuk kiri Pak Mud masih jelas kelihatan selepas ditoreh dengan pisau ketika bergelut dengannya.


Bagi Pak Mud, lebih baik dia tinggal bersendirian di pondok usangnya di sebuah daerah di negeri ini daripada hidup sebumbung dengan anak tidak berhati perut itu.


“Pak cik masih ingat bagaimana dia memperlakukan pak cik seperti haiwan ketika cuba merampas rantai arwah emaknya daripada genggaman pak cik.


“Rantai itu satu-satunya harta berharga ditinggalkan isteri sebelum meninggal dunia lima tahun lalu, namun cuba diragut oleh anak kerana ingin membeli dadah,” katanya yang sentiasa mengenangkan kejadian itu sebaik tibanya Hari Bapa.


Pak Mud menjelaskan, ketika kecil, anaknya yang dikenali sebagai Lokman, 28, ditatang bagai minyak yang penuh, menyebabkan segala kemahuannya dituruti.


Namun, katanya, segala-galanya berubah dalam sekelip mata apabila Lokman menjadi ganas sebaik gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Lokman pernah beberapa kali cuba memukul ibunya selepas dikatakan tidak tahan mendengar leterannya, namun sempat dihalang pak cik yang kebetulan ada di rumah.


“Perangainya juga semakin berubah sebaik ibunya meninggal dunia sebelum mula berjinak-jinak dengan dadah, terutama pil kuda dan heroin,” katanya yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan bagi menampung kehidupan.


Pak Mud berkata, dia terpaksa menahan kesakitan ketika ditoreh dengan pisau, selain hanya mampu melihat Lokman membawa lari rantai arwah isterinya.


Katanya, dia kemudian terpaksa menggagahkan diri ke hospital berhampiran sebelum dikenakan tujuh jahitan pada jari kelingking kirinya.


“Namun pak cik tidak membuat laporan polis kerana tidak mahu maruah keluarga tercalar, selain tidak mahu perkara itu berpanjangan.


“Pak cik tidak tahu ke mana Lokman menghilangkan diri sebaik kejadian itu dan berharap dia insaf serta kembali ke pangkal jalan sempena Hari Bapa,” katanya.

Wednesday, June 16, 2010

APABILA banyak kisah selebriti popular diberkas kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah didedahkan media, ramai melahirkan rasa 'tidak terkejut' kerana menganggap itu sebahagian cara hidup mereka. 

Walaupun tidak semua, ia sedikit sebanyak membenarkan telahan khalayak bahawa industri hiburan tidak akan melahirkan teladan yang baik kepada masyarakat. Malah, ramai di kalangan yang terbabit pula adalah golongan bapa yang bukan saja menjadi model kepada peminat dan pengikut mereka, malah juga anak-anak daripada darah daging sendiri.

Yalah! Kalau bukan bapa yang menjadi qudwah hasanah setiap permata hati mereka, siapa lagi? Umum mengetahui penyalahgunaan dadah tidak akan menjadikan hidup manusia bertambah baik. Penagihan dadah memusnahkan hidup manusia, meruntuhkan institusi kekeluargaan yang dibina, mengancam keselamatan awam, bangsa dan negara.

Tidak pernah ada liputan berita menyatakan sesebuah kehidupan menjadi sempurna kerana dadah, sebaliknya hampir semua kisah menonjolkan dadah sebagai racun membunuh nyawa dan agama. 

Memandangkan majoriti rakyat negara ini berbangsa Melayu dan beragama Islam, maka golongan ini jugalah yang mendominasi jenayah ini, bahkan tangkapan demi tangkapan dibuat membuktikan najis dadah menjadi makanan harian segelintir umat Islam yang percaya kepada qada dan qadar Allah. 

Mereka inilah juga yang arif soal hukum dan hakam serta kehidupan sesudah mati, yang akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap diri masing-masing, tetapi masih tidak mampu mengawal diri daripada tertipu dengan keindahan dunia yang tidak kekal lama. 

Walaupun najis dadah tidak pernah disebut di dalam nas al-Quran mahupun hadis Rasulullah SAW, penyalahgunaan dadah adalah jelas haram hukumnya berdasarkan beberapa dalil yang diqiyaskan ke atas arak atau perkara yang memabukkan. 

Di dalam Surah Al-Maidah ayat ke 90, Allah SWT berfirman yang mafhumnya: ‘Wahai orang yang beriman. Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semata-mata kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya’. 

‘Arak’ yang disebutkan dalam ayat di atas sebahagian daripada contoh perbuatan kotor dan amalan syaitan. Sudah tentulah apa saja perbuatan syaitan perbuatan mensyirikkan Allah SWT. Begitulah juga penagihan dadah yang di’illah’kan sama seperti arak, yang masih menjadi minuman sosial di kalangan umat Islam hari ini. 

Ini diperkuatkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: ‘Penagih khamar sama seperti penyembah berhala’. 

Rasulullah juga bersabda yang bermaksud: ‘Setiap yang memabukkan adalah khamar dan setiap khamar adalah haram’. Kerana setiap yang memabukkan adalah khamar (arak), maka kita tidak boleh mengatakan hanya arak saja yang diharamkan dan bukan yang lainnya. Ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ‘Pasti akan ada manusia di kalangan umatku yang minum khamar, namun mereka menamakannya dengan nama-nama yang lain’. 

Arak dan dadah menyebabkan seseorang itu hilang kewarasan dan akan melakukan apa saja perbuatan jahat yang ditegah agama, seperti berzina atau berbunuhan. Malah gejala sosial yang tidak terkawal hari ini ada hubung kaitnya dengan pertambahan jumlah individu yang mengambil arak dan dadah, tambahan pula kanak-kanak juga sudah berani berbangga dengan tabiat menghisap rokok yang menjadi permulaan ke arah pengambilan dadah di kalangan generasi muda. 

Tanggungjawab membanteras gejala dadah bukan terbeban ke atas penggubal undang-undang atau penguatkuasaan saja. Sebaliknya ia adalah tanggungjawab semua pihak yang sayangkan agama dan negara. 

Dewasa ini, golongan bawah umur sudah ramai menghisap rokok, termasuk kanak-kanak perempuan seperti dilaporkan di media baru-baru ini. Ia tidak mengejutkan kerana kanak-kanak memang mudah terikut dan dipujuk supaya mengikut. Musibahnya ialah apabila kanak-kanak mengikut sisi negatif yang diperlihatkan kepada mereka oleh mereka yang paling hampir dengan mereka, sama ada ibu bapa atau teman. 

Hal ini tentulah membimbangkan kerana rokok mendekatkan mereka kepada dadah. Ibaratnya, apabila sudah cukup handal menghisap rokok, mereka akan beralih kepada dadah pula dan ia menjadi lambang kejaguhan generasi muda hari ini. Justeru, teman rapat yang tidak terjebak harus menunaikan tanggungjawab mengembalikan mereka kepada kehidupan normal dan bersih serta membantu mereka memulihkan diri. 

Di sebabkan ramai golongan muda yang lebih akrab dengan rakan sebaya berbanding ibu bapa, teman-temanlah yang patut membantu ibu bapa mengatasi masalah ini dengan melaporkan salah laku kepada ibu bapa mereka atau pihak berkuasa supaya tindakan pencegahan dapat dilakukan dengan segera. 

Orang awam pula harus berasa bertanggungjawab menyelamatkan anak bangsa dan akidah waris agama yang semakin terancam kebelakangan ini disebabkan gejala sosial yang semakin parah. Media juga harus mengambil kesempatan menonjolkan betapa jijiknya najis dadah termasuklah mereka yang menghambakan diri kepadanya, bukan sekadar membuat laporan semata-mata. 

Saturday, June 5, 2010

Dua buah rumah yang dijadikan makmal memproses dadahl, dadah RM1.3j dirampas


MELAKA 4 Jun – Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.32 juta selepas menyerbu dua buah rumah yang dijadikan makmal memproses dadah sintetik di Taman Merdeka dan Taman Semabok Permai di sini semalam.

Turut ditahan dalam tiga serbuan berasingan bermula pukul 4.30 petang semalam sehingga 1.30 pagi tadi ialah 11 individu termasuk lima wanita yang berusia antara 26 hingga 48 tahun.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada empat lelaki tempatan, dua lelaki warga China, empat wanita tempatan dan seorang wanita warga Indonesia.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama pukul 4.30 petang semalam, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an di sebuah resort di Tanjung Kling.

``Hasil pemeriksaan dalam bilik di resort itu, polis menemui enam gram ganja dan empat gram ketamin,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Menurutnya, susulan penangkapan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka menyerbu sebuah rumah yang dijadikan makmal memproses dadah di Taman Merdeka kira-kira pukul 12.10 tengah malam tadi.

Hospital jadi sarang penagih


Oleh SHAHRULANOOR ISHAK
shahrulanoor.ishak@kosmo.com.my


ANGGOTA penguat kuasa AADK Kuantan (kanan) menyoal beberapa orang penagih dadah yang ditahan di HTAA, Kuantan semalam.


KUANTAN - Umum mengetahui bahawa kawasan hospital kini merupakan kawasan larangan merokok, namun suatu yang mengejutkan apabila didapati Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini didapati menjadi tempat penagih dadah melepaskan gian.

Kegiatan itu dikesan berlaku di kawasan taman dikelilingi blok bangunan yang menempatkan wad pesakit dan sedikit terlindung daripada pandangan orang ramai serta tidak diterangi lampu pada waktu malam.

Apa yang menghairankan, pengawal keselamatan yang bertugas di kawasan hospital itu langsung tidak menyedari kewujudan kegiatan penagihan dadah di HTAA pada setiap malam.

Bertindak atas maklumat beberapa pelawat, pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuantan melakukan operasi khas menggempur sarang penagih di hospital tersebut pukul 12 malam kelmarin.



Wednesday, June 2, 2010

RM6 JUTA dadah dirampas di Country Heights dan Anggerik Villa, Kajang


SEBUAH unit di Apartmen Anggerik Villa yang dijadikan makmal dadah terbesar di Kajang.

KAJANG – Rahsia tiga lelaki tempatan yang mengaku sebagai tukang masak sebuah restoran makanan laut yang mampu menyewa rumah banglo di Country Heights di sini terbongkar apabila mereka sebenarnya dalang sindiket pengedaran dadah terbesar di sini.

Tembelang ketiga-tiga suspek yang berusia 30-an pecah apabila mereka ditahan dalam serbuan di sebuah rumah banglo itu pada pukul 11.30 malam Ahad lalu.

Susulan penahanan itu, polis kemudian menyerbu sebuah apartmen yang dijadikan makmal untuk memproses dadah di Jalan Semenyih.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Shakaruddin Che Mood berkata, dalam serbuan di Country Height, polis merampas 4.5 gram ketamin, 40 gram syabu dan sepucuk pistol.

Polis juga menemui 42 butir peluru dan merampas sebuah kereta Ford dan Toyota Alphard di rumah banglo tersebut.

“Susulan itu, polis menyerbu apartmen Anggerik Villa yang dijadikan tempat untuk memproses dadah,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut beliau, di apartmen itu polis menemui pelbagai jenis dadah dan bahan kimia serta alat-alat memproses dadah.

Antara yang dirampas di makmal itu ialah sebanyak 27 kilogram serbuk disyaki dadah, 12 kilogram syabu, 12 kilogram ketamin dan 13 kilogram serbuk ekstasi.

“Kesemua dadah dan bahan-bahan untuk memproses dadah dipercayai diimport dari negara luar,” katanya.

Shakaruddin memberitahu, polis percaya ketiga-tiga suspek tersebut baru aktif dalam kegiatan haram itu dan mereka mempunyai rangkaian dengan sindiket dadah antarabangsa.


Shakaruddin Che Mood (kanan) menunjukkan sebahagian daripada rampasan dadah bernilai RM6 juta di Kajang, semalam.



Friday, May 28, 2010

Buruh dipenjara 30 bulan



2010/05/28
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUANTAN: Seorang buruh berusia 51 tahun dijatuh hukuman penjara 30 bulan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki dadah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Lee Man Boh, dari Taman Tas, di sini, yang terlepas daripada dikenakan hukuman sebatan kerana faktor usia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu bersama dua lagi rakannya selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Majistret Nordiana Abdul Aziz.


Bagaimanapun, dua lagi tertuduh, Leong Tim Choy, 44, dari Kampung Melayu Gambang, di sini dan Chan Look, 55, dari Jalan Air Putih, di sini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan dan minta dibicarakan.


Tertuduh masing-masing bekerja sebagai penoreh getah dan buruh.


Mengikut kertas pertuduhan, tiga sahabat itu didakwa secara bersama memiliki satu beg kecil berwarna hitam berisi 27 peket plastik lut sinar pelbagai saiz setiap satu berisi serbuk dan ketulan keperangan mengandungi 1.02 gram (g) heroin serta 0.99g monoacetylmorphines dengan jumlah berat bersih 2.01 g.


Semua tertuduh didapati melakukan kesalahan itu pada 3 Februari lalu, kira-kira jam 1.50 tengah hari di rumah bernombor 55, Jalan Taman Tas, di sini.


Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) (Pindaan 1998) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.


Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebat sehingga sembilan sebatan.


Nordiana menetapkan 2 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes terhadap kedua-dua tertuduh terbabit.


Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Cif Inspektor Mohamed Zakaria.